ANYAMAN
Perihal Anyaman
Daripada tikar hingga kepada dinding pelindung kediaman, hasil kerja menganyam membentuk persekitaran hidup yang boleh dilihat di mana-mana. Ini tidak menghairankan kerana tumbuh-tumbuhan tropika banyak yang sesuai untuk dijadikan bahan anyaman. Keseluruhannya, kemahiran asas dalam seni anyaman tidak banyak berbeza, cuma bergantung kepada jenis tumbuhan yang dijadikan bahan anyaman. Antara tumbuh-tumbuhan yang paling banyak digunakan dalam seni anyaman ialah buluh, mengkuang, rotan, ribu-ribu dan lidi. Perbezaan ciri tumbuh-tumbuhan ini menghasilkan pelbagai bentuk dan barangan seni anyaman.
ANYAMAN BULUH
Buluh merupakan salah satu spesis rumput, sama seperti lalang, jagung dan padi. Antaranya buluh akar, buluh batu/tumpat, buluh betung, buluh cina, buluh duri, buluh gading, buluh kasap, buluh minyak/padang, buluh peleting, buluh perindu dan buluh sembilang. Hasil anyaman buluh pula termasuk bakul, dulang, nyiru dan tudung saji. Jenis buluh yang biasa ialah buluh akar, buluh betung, buluh minyak dan buluh gading.
ANYAMAN PANDAN DAN MENGKUANG
Daun mengkuang lebih lebar, tebal dan panjang daripada daun pandan. Oleh yang demikian, biasanya mengkuang digunakan untuk menganyam benda-benda yang lebih besar dan kukuh berbanding dengan benda-benda yang diperbuat daripada pandan. Tikar mengkuang yang lebar anyamannya biasanya digunakan untuk menjemur padi, mengalas lantai dapur atau jemuran dan sebagainya. Tikar yang dianyam untuk kegunaan demikian tidak dicelupkan warna, berlainan daripada tikar yang dikhaskan untuk tetamu. Tetamu dibentangkan tikar yang bukan sahaja halus anyamannya malah bercorak dan berwarna-warni.
ANJAMAN ROTAN
Rotan batu, rotan manau dan rotan sega dianggap paling baik untuk tujuan pembuatan perabot dan hasil anyaman.Malah, berasaskan potensinya dalam pembuatan perabot, sejak beberapa tahun
kebelakangan rotan manau telah ditanam secara besar-besaran sebagai tanaman komersil sampingan di celah-celah barisan tanaman lain. Hasil anyaman rotan tradisional termasuk bakul, kerusi, lekar, nyiru, raga dan juga alat permainan tradisional seperti sepak raga. Sesuai dengan cara hidup moden, rotan kini semakin popular sebagai kelarai perhiasan, seperti terendak lampu.